Pemandangan matahari kemerahan akibat jerebu di Jalan Sri Aman – Lingga yang dirakam pada 18 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jerebu, kurang bekalan air berlaku serentak di Sri Aman

SRI AMAN, 18 SEPT: Selain masalah jerebu yang dihadapi, bandar Sri Aman berkapasiti lebih 100,000 penduduk ini turut menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

Residennya, Indit Bangai berkata, ketika ini semua aset daripada kerajaan telah dikerah bagi membantu semua penduduk yang terjejas.

“Bagi bantuan jerebu, sebanyak 80,000 penutup hidung dan mulut akan diagihkan kepada penduduk di sekitar bandar ini termasuk murid sekolah dan penjawat awam.

“Selain itu, bantuan memadam kebakaran terbuka yang berlaku di kawasan Lingga dan Kampung STC dengan kaedah ‘water bombing’ (bom air) oleh APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Bahagian Sri Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pesawat jenis Bombardier milik APMM itu akan tiba dari Miri pada jam 1 tengah hari ini bagi melakukan kerja pemadaman selama kira-kira dua jam.

Sementara itu, Jurutera Air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman, Adzahari Baini berkata ketika ini lapan daripada 10 loji di Sri Aman menghadapi kesurutan paras air.

“Lapan loji itu ialah Bayai, Stumbin, Seduku, Lingga, LDS, Engkilili, Melugu dan Pantu yang telah berada pada paras kritikal ekoran keadaan cuaca panas dan tidak menerima hujan sejak bulan lepas.

“Sekiranya keadaan berterusan dan tiada hujan, lebih 15,000 kediaman di Sri Aman yang mempunyai paip meter berdaftar akan terjejas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pencatuan air di beberapa loji yang terjejas itu.

“Namun catuan yang lebih kritikal dilakukan di loji Lingga, Stumbin, Seduku, Melugu dan terbaharu di Engkilili,” katanya.

Kualiti udara di Sri Aman secara umumnya menunjukkan penurunan setakat 8 pagi ini daripada peringkat bahaya kepada sangat tidak sihat.

-BERNAMA


Pengarang :