AGENDANASIONAL

Jerebu: Melaka batal semua majlis, aktiviti luar

MELAKA, 15 SEPT: Kerajaan negeri Melaka mengarahkan semua acara serta aktiviti luar di negeri itu dibatalkan ekoran keadaan jerebu yang kini berada pada paras yang tidak sihat sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah lebih 200.

Bacaan IPU di negeri Melaka setakat jam 3 petang ini mencecah situasi sangat tidak sihat iaitu 220 di Bandar Melaka, 197 di Bukit Rambai dan 166 di Alor Gajah.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Low Chee Leong berkata, pihak yang telah merancang acara atau aktiviti luar disaran membatalkannya buat masa sekarang sehingga sitasi kembali pulih dan orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan minum air masak mencukupi sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Beliau berkata, situasi semasa jerebu ini boleh memberi kesan buruk pada kesihatan individu khususnya warga emas dan kanak-kanak serta mereka yang menghidap penyakit jantung dan paru-paru.

“Penggunaan topeng muka adalah penting bagi mencegah terdedah dengan jerebu secara terus dan menggunakan pendingin hawa kereta pada mod kitaran dalaman selain memastikan sentiasa membasuh muka dan tangan dengan air bersih,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Chee Leong berkata, orang ramai yang mengalami simptom akibat jerebu seperti gatal kerongkong dan batuk, mata pedih dan berair, sukar bernafas atau sesak nafas, hidung berair dan kerap bersin, sakit dada serta gatal kulit badan dinasihat mendapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berhampiran.

Katanya, semua operasi klinik kesihatan, klinik desa dan hospital di negeri itu beroperasi seperti biasa dan Jabatan Kesihatan negeri telah bersiap siaga bagi menghadapi peningkatan pesakit sekiranya situasi jerebu semakin buruk.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengagihkan topeng muka kepada golongan yang terpaksa bekerja di lapangan seperti wartawan, polis trafik dan posmen selain pelajar dan guru di sekolah sekitar negeri itu.

– BERNAMA


Pengarang :