Penunggang motosikal dilihat memakai topeng muka untuk melindungi diri dari jerebu tebal berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang memasuki tahap sangat tidak sihat ketika tinjauan di sekitar Port Dickson pada 17 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jerebu merebak, makin banyak kawasan sangat tidak sihat

SHAH ALAM, 17 SEPT: Lima kawasan di empat negeri merekodkan bacaan kualiti udara sangat tidak sihat, tidak termasuk Sri Aman yang masih berada di paras bacaan berbahaya.

Keadaan jerebu di Perak kian serius apabila kualiti udara di banyak kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

Setakat jam 3 petang, Seri Manjung mencatatkan IPU sangat tidak sihat. Sementara Tasek di Ipoh, Pegoh (Ipoh) dan juga Taiping pula merekodkan bacaan kualiti udara tidak sihat.

Seri Manjung menunjukkan bacaan 217, Tasek (110), Pegoh (109) dan Taiping (104).

Sementara itu di Selangor pula, Johan Setia di Klang masih lagi berada pada kualiti udara sangat tidak sihat (233).

Lima lagi lokasi merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Kuala Selangor (179), Petaling Jaya (163), Shah Alam (171), Klang (194) dan Banting (183).

Di Negeri Sembilan, dua kawasan menunjukkan kualiti udara sangat tidak sihat: Port Dickson (208) dan Nilai (204).

IPU di Sri Aman, Sarawak terus mencatatkan paras berbahaya (386). Kuching pula menunjukkan bacaan sangat tidak sihat (214). Semua kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat kecuali Limbang, Miri dan Kuala Baram.

IPU 0-50 bermaksud kualiti udara yang baik, 51-100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.


Pengarang :