Pemandangan Bandaraya Kuching yang berjerebu dirakam dari udara, pada 6 September 2019. – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jerebu: NADMA-Sarawak sedia peruntukan, edar topeng muka

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan Negeri Sarawak akan menyediakan peruntukan bagi perolehan topeng muka untuk diedarkan kepada penduduk di Kuching, yang kini dilanda jerebu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Dr Wan Azizah berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan terus memantau situasi di kawasan terjejas.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia juga sedang meneliti kesesuaian menjalankan Operasi Pembenihan Awan dengan mengambil kira keadaan atmosfera di kawasan itu.“Rakyat khususnya di Sarawak dinasihat agar lebih banyak berada di kawasan tertutup dan memakai topeng apabila berada di kawasan terbuka untuk mengelak sebarang masalah kesihatan,” katanya.

Setakat 10 pagi ini, jerebu semakin teruk melanda Sarawak apabila banyak kawasan mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Kuching menjadi satu-satunya kawasan mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 206.

Memetik laporan Jabatan Alam Sekitar, Dr Wan Azizah berkata faktor utama penyumbang punca bacaan IPU yang tinggi berikutan 455 titik panas dikesan akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Beliau berkata, pergerakan angin memberi kesan jerebu rentas sempadan ke Malaysia khususnya di Sarawak.

“Di samping itu, kejadian kebakaran belukar tanah gambut di Kuala Baram, Miri menyebabkan keadaan sekitar berjerebu. Pihak bomba sedang mengambil tindakan berterusan memadam kebakaran di kawasan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :