AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jerebu: Semua IPT dinasihat tangguh sesi kuliah

SHAH ALAM, 19 SEPT: Semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negeri yang mengalami jerebu pada paras tidak sihat dinasihatkan supaya menangguhkan sesi kuliah.

Jabatan Pendidikan Tinggi dalam kenyataan memaklumkan, ia berikutan keadaan jerebu yang berisiko memudaratkan kesihatan pelajar, pensyarah dan warga IPT.

“Jabatan Pendidikan Tinggi mengambil cakna berkenaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin meningkat ke paras sangat tidak sihat dengan bacaan melebihi 200 di beberapa negeri.

“Justeru, adalah dinasihatkan supaya semua Institusi Pendidikan Tinggi di negeri yang terbabit menangguhkan sesi kuliah,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan rekod bacaan IPU di kebanyakan tempat di Semenanjung berkurangan pagi ini termasuk di Johan Setia, Klang yang berada pada paras tidak sihat (169) setakat 11 pagi ini berbanding sangat tidak sihat (231), tengah malam tadi.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Kuching dan Samarahan di Sarawak masing-masing meningkat daripada 243 kepada 272 dan 213 kepada 226 bagi tempoh yang sama iaitu kekal dalam kategori sangat tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.


Pengarang :