AGENDANASIONAL

Jho Low ajar cara percepat dapat pinjaman bon RM5 bilion

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah mengajarnya untuk membuat salinan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) bagi surat yang dihantar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, Jho Low memberitahunya dengan cara menulis surat kepada Najib dan membuat salinan kepada KSP ketika itu, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah,ia akan memberi tekanan dan menyebabkan KSP berasa lebih terikat untuk mempercepatkan proses pengeluaran jaminan kerajaan bagi pinjaman bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang dimohon Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

Saksi pendakwaan kesembilan yang juga saksi penting berkata, surat kepada Najib itu disediakan bagi menyatakan status semasa penerbitan pengeluaran bon tersebut.

Shahrol Azral berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan ketika merujuk sepucuk surat bertarikh 4 Mei 2009 daripada TIA yang ditujukan kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.

Perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama, masuk hari ke-11 hari ini.

Menjawab soalan tambahan daripada Sri Ram, Shahrol Azral berkata, kandungan surat itu telah disediakan oleh Jho Low dan ditandatangan sendiri olehnya.

“Antara isi kandungan surat tersebut adalah hasil perbincangan penerbitan IMTN termasuk hasil perbincangan antara pihak TIA dan Kementerian Kewangan yang meletakkan syarat Letter of Comfort (surat jaminan) mesti terlebih dahulu dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.

Saksi itu juga memberitahu, Kementerian Kewangan pernah menyuarakan ketidakselesaan dengan tarikh sasaran yang diberikan TIA bagi pengeluaran bon itu.

“Tarikh sasaran pengeluaran bon yang ditetapkan TIA adalah kira-kira sebulan iaitu pada penghujung Mei 2009 sedangkan permohonan tersebut hanya dibuat pada 26 April 2009.

“Saya dimaklumkan oleh Jho Low bahawa tarikh akhir ini adalah untuk memastikan pelaburan daripada Mubadala Petroleum boleh berlaku.

“Jho Low juga menyarankan saya supaya mendesak Kementerian Kewangan. Jho Low juga ada berkata, dia akan desak juga melalui Menteri Kewangan secara “top down”,” katanya.

Ditanya Sri Ram sekiranya beliau memahami apa yang dimaksudkan dengan “top down”, saksi itu berkata, ia membawa maksud “arahan diberikan daripada Kementerian (Kewangan)”.

Terdahulu, Shahrol Azral berkata, mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) pertama TIA terpaksa diadakan lewat kerana menunggu kehadiran Jho Low terlebih dahulu.

Katanya, tanpa kehadiran Jho Low, mesyuarat itu tidak boleh dijalankan kerana beliau merupakan individu penting iaitu penasihat TIA dalam membincangkan agenda IMTN.

“Mesyuarat itu diadakan pada 15 April 2009 jam 11.45 pagi di Bilik Lembaga Pengarah, Tingkat 38, Menara Lembaga Tabung Haji, di Jalan Tun Razak.

Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan agenda penting iaitu untuk mendapatkan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah untuk mendapatkan terbitan bon IMTN berjumlah RM5 bilion.

Dalam mesyuarat ini Jho Low turut dijemput untuk hadir. Saya tidak ingat butiran terperinci tentang apa yang telah disuarakan oleh Jho Low di dalam mesyuarat tersebut tetapi secara kasarnya ia berkaitan dengan permohonan Jaminan Kerajaan (GG),” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :