Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jho Low mungkin dibawa pulang hujung tahun – KPN

SHAH ALAM, 25 SEPT: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi bayangan bahawa ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dijangka dibawa pulang hujung tahun ini.

Beliau berkata Jho Low yang dikaitkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilindungi pihak tertentu untuk bersembunyi di sebuah negara menyebabkan dia sukar diekstradisi.

“Sukar untuk saya beri timeline (tempoh masa untuk bawa pulang Jho Low) sebab dia lari sudah terlalu lama namun saya berusaha untuk cuba percepatkannya, mungkin hujung tahun ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima, Jho Low, ahli perniagaan yang dikehendaki oleh negara ini, didapati bebas menjalankan perniagaan tanpa sekatan di negara terbabit bersama kira-kira empat hingga lima orang ‘konco-konconya’.

Enggan mendedahkan negara berkenaan, namun menyatakan ia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia, Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meningkatkan usaha rundingan dan memberikan pandangan tegas kepada pihak yang melindungi Jho Low.

Beliau berkata pihak yang melindungi ahli perniagaan itu di negara terbabit juga mendakwa ahli perniagaan itu tidak diserahkan kepada PDRM disebabkan Jho Low adalah mangsa konspirasi politik.

“Isu Jho Low tiada kaitan dengan politik sama ada di sini atau di negara yang berikan dia pelindungan. Ia babitkan soal jenayah komersial. Polis tegas kata ia kes jenayah dan kenapa ‘pihak’ sana tak mahu beri kerjasama? Sekarang saya sedang tingkatkan tekanannya (untuk menyerahkan Jho Low),” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Abdul Hamid berkata banyak cara yang boleh dilakukan untuk membawa pulang ahli perniagaan terbabit selain diekstradisi.

Antaranya melalui proses mahkamah, kerjasama PDRM dan Jabatan Imigresen dengan agensi sama di negara terlibat serta hubungan kedua-dua negara, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :