AGENDANASIONAL

Jika minyak naik kerajaan beri subsidi

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco susulan serangan oleh pemberontak Yemen, sudah pasti akan memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, di Malaysia, kerajaan mengamalkan pemberian subsidi bagi mengimbangi kenaikan harga tersebut.

“Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis sebanyak sejuta tong, sudah tentu beri kesan kepada harga minyak seluruh dunia.

“Tetapi di Malaysia bila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United Kingdom, kalau minyak naik, dia (kerajaan) naikkan cukai. Bagi dia, orang dia tak merungut,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan The Putrajaya Boat Race 2019, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian semasa ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 jika berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan kejadian serangan itu.

Putera Abdulaziz Salman, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA semalam berkata, Arab Saudi menggantung pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yemen.

Menteri Tenaga Arab Saudi itu berkata, serangan tersebut menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang membawa kepada gangguan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.

Aramco dalam kenyataan berasingan menjelaskan serangan itu mengakibatkan penggantungan pengeluaran 5.7 juta tong minyak mentah sehari.

Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi, adalah yang terbaharu dalam siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.

Pemberontak Houthi berkata, mereka melancarkan operasi berskala besar membabitkan 10 dron di kemudahan itu, lapor televisyen kumpulan itu, Al-Masirah.

– BERNAMA


Pengarang :