AGENSISELANGOR

JKN Selangor rampas produk beralkohol RM11,695

SHAH ALAM, 22 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor merampas 831 produk minuman beralkohol pelbagai jenama bernilai RM11,695 dalam ‘Ops Minuman Beralkohol’, pada 19 September lalu.

Pengarahnya, Dato’ Dr Khalid Ibrami berkata, jumlah itu adalah hasil pemeriksaan di 92 premis penjualan di seluruh negeri kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan produk minuman beralkohol yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Objektif operasi ini adalah bagi memastikan semua produk minuman beralkohol yang tersenarai di bawah Peraturan 362 sehingga Peraturan 386 PPM 1985 merangkumi produk seperti wain, sider, bir, brandi, rum, wiski, vodka dan lain-lain yang dijual di pasaran mematuhi peruntukan berkaitan produk minuman beralkohol,” katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi sama, sebanyak 15 notis kompaun bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan nilai RM52,500.

“Kesalahan boleh dikompaun yang banyak ditemui adalah kegagalan penjual untuk mempamerkan notis ‘Meminum Arak Boleh membayakan Kesihatan’ di hadapan premis jualan minuman beralkohol dan tanda larangan jualan kepada mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun di kaunter.

“Selain itu, terdapat premis tidak menyediakan kabinet atau rak yang berasingan bagi mempamerkan minuman beralkohol dengan makanan lain untuk jualan,” katanya.

Katanya, JKN Selangor sentiasa peka terhadap perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan atau penipuan dalam pengilangan serta penjualan produk makanan selain mengambil tindakan penguatkuasaan bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan di negara ini terkawal.


Pengarang :