SELANGOR

Jom meriahkan Jelajah 360º Smart Selangor

SHAH ALAM, 5 SEPT: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) bakal menganjurkan Jelajah 360º Smart Selangor Siri Keenam di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar, Klang pada 6 hingga 8 September ini.

Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung antaranya Simulasi Trak Realiti Maya Smart Selangor 2025, Smart Busker, Smart Bazaria dan Smart Digital Infrastructure.

Karnival bermula dari 9 pagi hingga 11.30 malam itu juga menyediakan aktiviti menarik lain seperti bola keranjang, Zumbathon, Soopa Doopa, Bumble Bee & Ultraman, Upin & Ipin Store, e-Sukan, forum dan motivasi termasuk cabutan bertuah.

Lebih menarik, beberapa agensi di bawah Kerajaan Negeri seperti Indah Water, Landasan Lumayan Sdn Bhd, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), KDEB Waste Management, Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Hijrah Selangor akan turut serta pada karnival itu.

Bagi graduan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat menyambung pengajian di peringkat asasi, peluang ini tidak harus disia-siakan kerana UNISEL menawarkan yuran pengajian percuma, manakala potongan sehingga 30 peratus untuk yuran pendaftaran program Ijazah Sarjana Muda dan diploma.

Bagi peminat pasukan bola sepak Selangor, mereka boleh bertemu secara langsung dengan pemain seperti Wan Zack Haikal, Rufino Segovia, Syazwan Zainon dan Namathevan menerusi acara ‘Meet & Greet’.

Selain itu, pelakon Zulhuzaimy juga dijangka berada di karnival terbabit bagi memeriahkan program Santai@UNISEL yang memasuki siri ke-17, manakala Isma AF ditampilkan khas pada program Alami Smart Selangor dan Sarah Fazny Jom Lepak di PPAS.

Malah, pengunjung bakal dihiburkan dengan penyanyi terkenal tanah air pada Konsert Alami Smart Selangor yang menampilkan artis undangan seperti Aishah, Sabhi Saddi, Mark Adam, Aiman Tino dan Shiha Zikir.

Untuk rekod, Jelajah 360º Smart Selangor sebelum ini sudah berlangsung di Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kajang.


Pengarang :