PBTSELANGOR

Jom Sihat & Lestari MPSJ sasar 1,000 peserta

SHAH ALAM, 12 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyasarkan 1,000 peserta akan memeriahkan Jom Sihat dan Lestari MPSJ pada 15 September ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, MPSJ mengambil inisiatif untuk menganjurkan program itu sempena sambutan Kemerdekaan ke-62.

“Ia juga sebagai landasan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

“Pelbagai aktiviti menarik direncanakan bagi menyemarakkan lagi program berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azfarizal berkata, antara aktiviti dilaksanakan adalah Kayuhan Untuk Autisme dengan jarak 30 kilometer dan yuran penyertaan sejumlah RM35.

“Kita turut menganjurkan ‘Merdeka Fun Walk’ dengan jarak laluan tiga kilometer di mana setiap peserta akan dibekalkan bendera yang akan dikibarkan sepanjang laluan.

“Selain itu, turut diadakan acara khas untuk kanak-kanak iaitu Pertandingan Sepakan Penalti, Pertandingan Pakaian Beragam, Pertandingan Deklamasi Sajak,” katanya.

Menariknya, beliau berkata, Senamrobik Merdeka dan cabutan bertuah juga akan diadakan kepada pengunjung yang hadir.

Orang ramai dijemput hadir ke program ini bagi memeriahkan aktiviti yang telah disusun sepanjang program berlangsung.

Sebarang pertanyaan berhubung program ini, sila layari www.mpsj.gov.my atau hubungi pegawai penyelaras program Puan Rahimah Binti Aisa @ Hassan di talian 03 50216000.


Pengarang :