AGENDABERITA UTAMANASIONAL

JPN diberi kuasa tutup sekolah jika jerebu teruk – Maszlee Malik

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Kementerian Pendidikan Malaysia memberi kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menentukan mana-mana sekolah di setiap negeri wajar ditutup ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi tahap bahaya.

Menurut FMT, Menteri Pendidikan Maszlee Malik itu berkata, JPN lebih mengetahui sejauh mana keseriusan jerebu yang dihadapi di setiap negeri mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kita menyerahkan kepada JPN untuk mengikut SOP yang ditetapkan. Jadi kalau ada mana-mana negeri yang bacaan IPUnya tinggi dan melepasi tahap bahaya, maka JPN akan meneliti keputusan untuk menutup sekolah terlibat.

“Kita berikan kuasa kepada JPN untuk memantau keadaan dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan My Digital Maker Fair 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini, hari ini.

Maszlee berkata, JPN di setiap negeri mempunyai pelan kecemasan tersendiri dan berbeza di seluruh negara.

Bagaimanapun, sejauh mana perbezaanya tidak dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada kaedah yang diguna pakai.

Terbaharu, 220 sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) di daerah Muar dan Tangkak, Johor, diarah tutup berikutan jerebu yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200.

Selain Johor, beberapa sekolah negeri lain sebelum ini diarah tutup, antaranya 29 buah sekolah di Selangor dan 409 Sekolah di Sarawak.

Sementara itu, menurut BERNAMA, IPU di Tangkak, Johor dan Bandaraya Melaka, meningkat kepada sangat tidak sihat setakat pukul 11 pagi tadi dengan masing-masing mencatatkan bacaan 253 dan 220.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata, keadaan itu berikutan jerebu merentas sempadan dan beberapa kejadian kebakaran di kawasan belukar dan kebun persendirian yang dilaporkan.

“Terdapat satu kebakaran hutan gambut yang berlaku di Mukim Jorak, Daerah Muar, di mana kebakaran sedang dalam tindakan pemadaman oleh pihak Bomba. Kebakaran tersebut telah menyebabkan berlakunya keadaan berjerebu di kawasan sekitar,” katanya.

Tambahnya, kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat, Selatan dan Timur Semenanjung Malaysia dan bahagian Barat Sarawak.

JAS berkata, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, menunjukkan terdapat 477 titik panas di Sumatera dan 708 di Kalimantan.

Selain itu, tujuh titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Sarawak (4), Sabah (2) dan Pahang (1).

JAS berkata, Peta Jerebu Serantau dikeluarkan ASMC pada semalam turut menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran di Timur, Barat, Tengah dan Selatan Kalimantan, dan di Jambi, Riau serta Lampung.

“Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan dan Sumatera yang terjejas ke kawasan bahagian Barat Sarawak dan seluruh Semenanjung Malaysia dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut kepada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat,” katanya.


Pengarang :