AGENDANASIONAL

JPN kaji semula prosedur pengeluaran dokumen

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengkaji semula serta membuat penambahbaikan prosedur pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan bagi memastikan tiada lagi ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“JPN akan memastikan proses pengeluaran dokumen sentiasa dibuat secara teratur dan mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959,” kata jabatan itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini susulan pendakwaan terhadap seorang pegawai JPN atas tuduhan terlibat deengan aktiviti pengeluaran dokumen secara penipuan di Pulau Pinang, JPN berkata siasatan dalaman di peringkat JPN juga sedang dijalankan bagi memastikan kes seumpama itu tidak lagi berlaku.

Menurut JPN, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

JPN menegaskan bahawa ia tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah.

“JPN tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan kakitangan yang didapati terlibat dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara,”katanya.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin dan lima individu menghadapi pertuduhan hari ini antaranya dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 berhubung pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

-BERNAMA


Pengarang :