AGENDANASIONAL

JPN nafi DAP Kepong rancang daftar MyKad buat warga China

PUTRAJAYA, 2 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan bahawa DAP Kepong sedang merancang untuk mendaftar MyKad bagi pendatang haram China dalam video yang tular di media sosial.

JPN dalam kenyataan hari ini berkata, ia ialah video lama berkenaan mesej yang telah disalah tafsir ketika itu yang menyebabkan orang ramai yang tiada kerakyatan, pemegang kad pengenalan sementara, dan pemegang kad pengenalan tetap berpusu-pusu hadir di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menukar status kewarganegaraan mereka.

“Program anjuran pejabat parlimen DAP Kepong pada penghujung 2018 tersebut hanya melibatkan sesi penerangan dan taklimat berhubung tatacara permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan oleh JPN.

“Tiada urusan permohonan dilaksanakan pada hari tersebut dan pihak JPN telah menasihatkan mereka yang hadir untuk pergi ke Pejabat JPN berhampiran bagi urusan permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan,” katanya.

Justeru, JPN meminta orang ramai agar segera menghentikan penyebaran video tersebut di media sosial bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan seterusnya menggugat ketenteraman awam.

JPN berkata, tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN ditalian 03-8880 7077/ 7067/ 7069/ 8206 atau emel ke [email protected].

– Bernama


Pengarang :