AGENDANASIONAL

JPN tidak kompromi isu pegawai palsu dokumen

SHAH ALAM, 13 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sama sekali tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai dan kakitangan terlibat dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka tidak melindungi mana-mana pegawai dan kakitangan yang didapati terlibat dalam kegiatan boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

“JPN memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk melengkapkan siasatan mereka.

“Malah, siasatan dalaman di peringkat JPN juga sedang dijalankan bagi memastikan tiada kes seumpama ini berlaku lagi,” kata kenyataan itu, hari ini.

Selain itu, kenyataan itu berkata, JPN akan mengkaji semula serta membuat penambahbaikan prosedur pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan bagi memastikan tiada lagi ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“JPN akan memastikan proses pengeluaran dokumen sentiasa dibuat secara teratur dan mengikut peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959,” katanya.

Terdahulu, wujud kes pendakwaan seorang pegawai JPN atas tuduhan aktiviti mengeluarkan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara penipuan di Pulau Pinang, baru-baru ini.


Pengarang :