AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jumlah sungai tercemar meningkat dua peratus

KUALA KUBU BHARU, 29 SEPT: Jumlah sungai tercemar di Malaysia meningkat sehingga 11 peratus pada 2017 berbanding sembilan peratus pada 2013 dengan sebahagian besar daripadanya berada di kawasan bandar.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Yang Mulia Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, daripada 477 sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS), 58 peratus masih berada dalam keadaan bersih manakala 35 lagi didapati mengalami sedikit pencemaran.

“Perkembangan ini agak membimbangkan selari dengan pembangunan pesat yang dialami negara.

“Sejak kebelakangan ini, alam sekitar kian diancam dari pelbagai sudut disebabkan oleh aktiviti manusia sehingga mengakibatkan kelestariaanya tergugat.

“Pencemaran kebanyakan dilakukan oleh aktiviti manusia sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Sudah tiba masanya masyarakat perlu mengubah mentaliti ke arah lebih peka terhadap kesan buruk yang bakal dihadapi agar mereka tidak membuang sampah sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama perasmian Hari Sungai Sedunia 2019 dengan tema ‘Waterways In Our Communities’ (Jalan Air di Komuniti Kita) di Dataran Sungai Selangor, Ampang Pecah, di sini.

Selangor dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Sungai Sedunia tahun ini kerana Sungai Selangor merupakan sumber air utama yang melibatkan 60 peratus pengguna di negeri ini termasuk kawasan Lembah Klang.

Sambutan Hari Sungai Sedunia berlangsung pada hari Ahad terakhir dalam bulan September setiap tahun yang dianjurkan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang tanggungjawab serta keperluan memelihara sungai supaya sentiasa bersih dan indah.


Pengarang :