Mesyuarat Kabinet esok akan membincangkan masalah jerebu yang melanda negara.
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kabinet bincang masalah jerebu esok

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Perbincangan dan penyelesaian mengenai masalah jerebu yang melanda negara akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet esok, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dijangka membentangkan hasil laporan terkini mengenai jerebu.

“Pada mesyuarat Kabinet esok, saya pasti menteri (Yeo) akan beri laporan kepada Kabinet mengenai langkah seterusnya yang akan diambil dan Kementerian Luar akan membantu dalam perkara itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program pertukaran sukan Bola Keranjang Malaysia-China di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, Wisma Putra juga telah berhubung secara rasmi dengan kerajaan Indonesia mengenai fenomena jerebu sekarang.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tentang perbincangan dengan kerajaan Indonesia itu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan mempunyai rancangan untuk mewujudkan pelan jangka panjang bagi menangani jerebu rentas sempadan yang melanda negara ini pada setiap tahun namun turut memerlukan kerjasama negara lain termasuk Indonesia.

Jerebu di Malaysia sering kali dikaitkan dengan pembakaran terbuka di negara jiran itu ketika musim panas dan kering.

Masalah jerebu di Malaysia sejak 5 September lepas memaksa lebih 500 sekolah di Putrajaya, Selangor, Sarawak dan Negeri Sembilan ditutup hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 2 petang, Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap bahaya dengan bacaan IPU 377, berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan sempadan Kalimantan.

Lima stesen lain yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat ialah Johan Setia (236), Kuching, Sarawak (217), Seri Manjung, Perak (211) serta Nilai (204) dan Port Dickson (210) di Negeri Sembilan.

Mengenai kejadian serangan terhadap loji minyak Aramco di Arab Saudi baru-baru ini, Saifuddin berkata, Malaysia tetap berpendirian tegas mengutuk mana-mana serangan dan berharap ia tidak berlanjutan sehingga mencederakan orang awam dan merosakkan aset sesuatu negara.

“Kita memang risau apabila perkara sedemikian (serangan) berlaku kerana selain (menggugat) soal keamanan, ia boleh beri kesan terhadap harga minyak dunia.

“Kita sentiasa pandang serius dan kita mengecam mana-mana serangan. Pertama Malaysia tidak sukakan peperangan apabila serangan berlaku ke atas orang awam, kepada aset ekonomi… memang tindakan itu tidak baik sama sekali,” katanya.

Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi, adalah yang terbaharu dalam siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.

Pemberontak Houthi berkata, mereka melancarkan operasi berskala besar membabitkan 10 dron di kemudahan itu, lapor televisyen kumpulan itu, Al-Masirah.

– BERNAMA


Pengarang :