AGENDANASIONAL

Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai dalam pasaran tunai.

Untuk minggu yang baru berakhir, kadar rujukan semalaman Islam kekal tidak berubah pada 2.95 peratus, manakala kadar satu minggu, dua dan tiga minggu masing-masing kekal pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

Sepanjang minggu ini, BNM campur tangan setiap hari untuk menyerap lebihan dana daripada sistem kewangan dengan menjalankan tender pasaran wang konvensional, Qard dan repo berbalik, serta Bil Antara Bank, Bank Negara.

Jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional untuk minggu ini meningkat kepada RM24.8 bilion daripada RM23.6 bilion pada minggu sebelumnya, manakala dalam sistem Islam, ia meningkat kepada RM13.5 bilion daripada RM12.2 bilion.

Pasaran akan ditutup pada Isnin bersempena sambutan Hari Malaysia dan akan dibuka semula pada Selasa.

– BERNAMA


Pengarang :