Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kakitangan MPS tipu pegawai LHDN dijel setahun

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pembelian sebuah rumah di Rawang.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap S. R. Kavitha, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah memerintahkan Kavitha menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 11 Sept 2019.

Wanita itu didakwa memperdaya P. Loggeta, 29, sehingga mendorongnya menyerahkan wang RM1,900 kepada tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada Ogos 2018 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

-BERNAMA


Pengarang :