Lori KDEBWM yang digunakan untuk mengutip sampah domestik di seluruh negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
PBTSELANGOR

KDEBWM ambil alih khidmat kutipan sampah MBSA

SHAH ALAM, 25 SEPT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan mengambil alih perkhidmatan kutipan sisa domestik sepenuhnya di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 1 Januari 2020.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Mei lalu.

“Bagi tujuan pelaksanaan ini, ia akan menelan kos sebanyak RM147.4 juta dengan tempoh selama 84 bulan.

“Ia akan bermula pada 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2026 membabitkan perbelanjaan RM21,058,622.52 setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan Belanjawan MBSA 2020, di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, di sini.

Pada masa sama, Haris berkata, bagi menjamin kelestarian persekitaran yang bersih dan kualiti hidup sihat, MBSA memperuntukan sejumlah RM37.2 juta untuk perkhidmatan kutipan sisa pepejal domestik di kediaman, komersial dan institusi pentadbiran Shah Alam.

Katanya, jumlah itu turut merangkumi kutipan sisa makanan di premis restoran dan kos pelupusan sisa ke tapak pelupusan sampah.

“MBSA juga akan memfokuskan ‘Waste Diversion’ ke arah pengurangan sisa melalui program kitar semula, pendidikan dan kesedaran.

“Selain itu, penggunaan teknologi pengurangan sisa turut diperkasa dan MBSA juga akan menambah pusat-pusat kitar semula.

“Hal ini secara langsung akan dapat mengurangkan kos pelupusan sisa yang ditanggung oleh MBSA,” katanya.


Pengarang :