Selangorkini
Amirudin Shari bersama delegasi Kerajaan Selangor mendengar penerangan berhubung inovatif ‘Smart City Solution’ Huawei dalam lawatan kerjanya di Shenzen, China. Foto Twitter AMIRUDIN SHARI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ke arah Negeri Pintar, Selangor-Huawei teroka peluang baharu

SHAH ALAM, 4 SEPT: Pertemuan empat mata antara Kerajaan Selangor dan Huawei adalah bagi meneroka peluang baharu bagi membolehkan misi bergelar Negeri Pintar di ASEAN berjaya, tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau kagum dengan inovatif ‘Smart City Solution’ yang dilakukan syarikat teknologi utama China itu dengan mewujudkan aplikasi digital serta menempatkannya melalui pusat arahan yang sistematik.

“Perjalanan Huawei mengagumkan kerana ia bermula daripada sebuah syarikat kecil di China dan kini menjadi kuasa besar dunia bagi teknologi global,” katanya dalam kenyataan.

Turut serta dalam lawatan itu ialah EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim dan Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Delegasi berkenaan sebelum itu turut bertemu dengan beberapa syarikat terkemuka antaranya Tencent Holdings, CANBOT Robotics dan Nine Dragons (Dongguan) Plant.

Sebelum ini, dilaporkan Amirudin yang mengetuai delegasi Kerajaan Selangor ke Shenzen China adalah bagi menumpukan usaha menarik pelaburan dari negara itu terutamanya dari syarikat alat telekomunikasi terkenal, Huawei.

Kerajaan Selangor juga menyatakan kesediaannya untuk menawarkan kemudahan daripada segi infrastruktur.

Pada masa sama, Selangor akan memperkukuhkan persediaan daripada segi jalur lebar untuk menarik pelaburan, sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan.


Pengarang :