Penunjuk perasaan merampas kedai milik warga asing dan bertindak membakar kedai berkenaan dalam rusuhan di Jeppestown berhampiran Johannesburg pada 2 September 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Keadaan di Afrika Selatan kembali tenang

JOHANNESBURG, 5 SEPT: Keadaan kembali tenang di jalan-jalan di bandar terbesar Afrika Selatan pada Rabu beberapa hari selepas insiden pecah masuk dan merompak serta membakar premis perniagaan yang dimiliki rakyat asing, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Sesetengah kedai membuka perniagaan mereka apabila polis meningkatkan rondaan termasuk di kawasan perbandaran Alexandra yang miskin di mana insiden pecah masuk dan merompak dilaporkan berleluasa.

“Keadaan hari ini agak tenang. Kami tidak menyaksikan sebarang insiden pecah masuk dan merompak di kawasan jalanan kami,” kata Abdul Mohamed, seorang peniaga tekstil Ethiopia yang mengendalikan sebuah kedai di pusat bandar Johannesburg.

Kedai milik rakyat Ethiopia, Somalia dan Nigeria telah menjadi sasaran sejak keganasan bermula.

“Saya memandu sekitar bandar hari ini dan keadaan adalah tenang. Tiada tayar yang dibakar atau batu dilempar ke arah kenderaan. Saya percaya keadaan tenang telah kembali ke negara ini,” kata Malume Jackson, seorang pemandu teksi bermeter kepada Anadolu.

Polis berkata pihak berkuasa telah meningkatkan pemerhatian dan rondaan di semua kawasan yang bergolak.

Pihak berkuasa mengumumkan bahawa sejumlah 189 orang telah ditahan sejak Ahad kerana disyaki melakukan keganasan awam, kerosakan terhadap harta benda dan kecurian.

Menteri Polis Bheki Cele pada Selasa berkata lima orang telah dibunuh semasa keganasan.

Bagaimanapun, meskipun keadaan kembali tenang beberapa rakyat asing tidak keluar dari rumah masing-masing dan tidak membuka perniagaan mereka kerana bimbang menjadi sasaran.

Afrika Selatan, yang mempunyai kadar pengangguran tinggi, telah menyaksikan peningkatan serangan terhadap rakyat asing kerana didakwa menutup peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

Sesetengah penduduk turut menuduh orang asing menjalankan perniagaan runcit secara tidak adil dan ingin mereka berhenti mengendalikan perniagaan kecil.

-BERNAMA


Pengarang :