Pasukan bomba memadamkan kebakaran di lembah Amazon di perbandaran Sorriso, Brazil, pada 26 Ogos lalu. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Kebakaran di Amazon Brazil terus meningkat

SAO PAULO, 2 SEPT: Data satelit Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Nasional (INPE) menunjukkan, sebanyak 3,859 kejadian kebakaran meletus dengan 2,000 daripadanya tertumpu di rantau Amazon, lapor AFP.

Angka terbaharu itu direkodkan dalam tempoh 48 jam pertama sejak larangan aktiviti pembakaran dikeluarkan oleh kerajaan, kata pihak berkuasa.

Bermula Januari hingga akhir Ogos lalu, 51.9 peratus daripada 88,816 kebakaran di Brazil berlaku dalam hutan hujan itu, dengan sejumlah pakar menyifatkan ia akibat pembakaran dramatik dan meluas petani.

Rantau Amazon Brazil kini berada pada musim kering, namun pakar mengakui tahun ini lebih lembap berbanding tahun sebelumnya dan kebakaran semula jadi tidak berlaku dalam hutan hujan itu.

Pemusnahan hutan meningkat tahun ini ketika agensi ditugaskan memantau aktiviti haram dilemahkan oleh pemerintahan sayap kanan Presiden Jair Bolsonaro.

Sejak hujung minggu lalu, ribuan askar, anggota bomba dan pesawat dikerahkan serta Kementerian Pertahanan berkata, kebakaran dapat dikawal.

Pemusnahan hutan untuk pertanian adalah antara ancaman paling serius terhadap hutan hujan itu dan menjadi masalah terkini di Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, French Guiana, Guyana, Peru, Suriname dan Venezuela.

Petani Brazil, Peru, Ecuador dan Bolivia biasanya menjalankan pembakaran dalam musim kering untuk membersihkan semak di kawasan hutan bagaimanapun ia sering menjurus kepada aktiviti tidak terkawal yang memberi kesan lebih besar kepada hutan hujan.

Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Bolivia meluluskan petani untuk membakar 20 hektar kawasan berbanding kebiasaan lima hektar, dipercayai menyumbang kepada kebakaran hutan yang memusnahkan 1.2 juta hektar kawasan rumput dan hutan sejak Mei lalu.


Pengarang :