Keadaan jerebu yang melanda Sri Aman yang mencecah tahap bahaya pada 17 September 2019. Foto Facebook SRI AMAN fm
AGENDANASIONAL

Kebakaran hutan punca IPU Sri Aman meningkat

PUTRAJAYA, 20 SEPT: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman, Sarawak yang mencapai tahap bahaya hari ini dipengaruhi oleh kebakaran hutan belukar yang dilaporkan berlaku di Kampung STC Sri Aman, Jalan Tisak Betong dan Jalan Ketajau, selain jerebu merentas sempadan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata kebakaran yang sama turut menyebabkan IPU kawasan itu meningkat lebih 300 pada pukul 3.00 pagi 17 September sehingga pukul 2.00 pagi 18 September lepas.

“Tindakan pemadaman sedang giat dilakukan oleh bomba di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya.

Bacaan IPU Sri Aman pada pukul 11 pagi ini ialah 417.

JAS berkata kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan 209 titik panas (hotspot) di Sumatera, 544 titik panas di Kalimantan, satu titik panas di Brunei dan enam di Malaysia iaitu dua di Sarawak, Sabah (dua), Terengganu (satu) dan Johor (satu).

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pula menunjukkan rantau selatan ASEAN secara amnya dalam keadaan kering, di mana titik panas di Riau, Jambi dan Sumatera Selatan berterusan mengeluarkan asap jerebu sederhana sehingga tebal dan memberi kesan di pantai barat, selatan dan tengah Semenanjung Malaysia.

Di Kalimantan pula, asap jerebu sederhana sehingga tebal juga didapati berterusan daripada titik panas di bahagian Kalimantan selatan, timur, barat dan tengah.

“Sebahagian daripada asap jerebu ini telah ditiup oleh angin mengarah ke utara dan memberi kesan kepada selatan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut kepada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat,” katanya.

JAS berkata pada pukul 11 pagi tadi, tiga stesen di Sarawak mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (244), Sarikei (225) dan Samarahan (218).

Menurutnya 19 stesen pula mencatatkan bacaan IPU tidak sihat antaranya Sibu, Sarawak (191), Batu Muda (160) dan Cheras (149) di Kuala Lumpur, Johan Setia, Klang, Selangor (153), Mukah, Sarawak (147), Tasek Ipoh, Perak (144), Petaling Jaya, Selangor (143), Putrajaya (133) dan Shah Alam (133).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA


Pengarang :