AGENDANASIONAL

Kebocoran gas ammonia: Tiga sekolah diarah tutup, calon UPSR dipindah

JASIN, 4 SEPT: Tiga buah sekolah ditutup hari ini ekoran insiden kebocoran gas ammonia dari sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, yang terletak berhampiran sekolah berkenaan.

Pengarah Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan, SK Serkam Darat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam.

“Seramai 20 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dari SK Paya Redan ditumpangkan ke Pusat Peperiksaan di SK Paya Dalam.

“Kita juga membuka satu pusat peperiksaan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mahkota bagi menempatkan 79 calon dari SK Serkam Darat dan enam calon SJKT Ladang Serkam,” katanya ketika dihubungi pemberita, malam tadi.

Katanya, perubahan lokasi pusat peperiksaan itu setakat ini kekal sehingga tarikh akhir peperiksaan UPSR, iaitu pada 12 September ini.

Abu Bakar berkata, semua pelajar tahun satu hingga lima di ketiga-tiga buah sekolah itu juga diarah bercuti, bagi mengelak terjejas dengan sebarang pencemaran.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pelajar sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah seperti biasa sehingga dimaklumkan.

“Ini kerana tiga buah sekolah ini terletak dalam radius tiga kilometer dari lokasi kilang pemprosesan ayam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat makluman, jika terdapat perubahan dari semasa ke semasa.

-BERNAMA


Pengarang :