Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kekal air percuma khusus untuk isi rumah RM4,000 dan ke bawah

SHAH ALAM, 27 SEPT: Penduduk Selangor dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah bakal menikmati skim baru air percuma bermula 1 Mac tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata Skim Air Darul Ehsan dibuat bagi mencapai matlamat asal untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Dalam belanjawan negeri tahun lalu, katanya, Dewan Negeri Selangor meluluskan penjajaran semula program air percuma bagi “meringankan beban kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan dan layak.”

“Selain itu, Skim Air Darul Ehsan ini juga akan dapat menyasarkan golongan yang amat memerlukan, di samping menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

“Penjajaran ini adalah perlu bagi menjana pembangunan dan kedudukan kewangan yang mampan,” kata Amirudin dalam kenyataan hari ini.

Katanya, skim itu menyasarkan pengguna domestik yang mempunyai meter individu dan meter pukal bagi yang mendiami pangsapuri kos rendah.

Amirudin berkata, untuk meter pukal, pengguna perlu mendapat pengesahan dari Badan Pengurusan Bersama atau Perbadanan Pengurusan.

“Setiap pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun air atau premis sahaja,” katanya.

Bermula 1 Jun 2008, Selangor melaksanakan program air percuma sebanyak 20 meter padu pertama, atau bernilai RM11.40, setiap bulan kepada semua pengguna di negeri itu.

Pendaftaran Skim Air Darul Ehsan bermula Isnin ini (30 September) sehingga 31 Disember 2019.

Menteri Besar juga berkata pendaftaran ini akan disemak dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menentukan mereka yang layak.

“Pemohon akan dimaklumkan berkenaan status permohonan mereka selewat-lewatnya pada penghujung Februari 2020, iaitu sebelum pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan yang akan bermula pada 1 Mac 2020,” katanya.

Seramai 1.6 juta pengguna yang sedang menikmati program sedia ada sejak 2008 akan terus menikmati subsidi sehingga 29 Februari 2020.

Pengguna yang memenuhi syarat boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan yang boleh dimuat turun atau diperolehi melalui saluran berikut:

• Laman web: www.airselangor.com
• Kaunter Perkhidmatan di semua sepuluh pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd
• Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Negeri
• Hubungi talian 15300 untuk pertanyaan dan bantuan

Borang permohonan yang diisi dengan lengkap boleh dihantar melalui e-mel kepada [email protected] atau diserahkan di kaunter perkhidmatan pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor.


Pengarang :