Amir Harith Mat Kashim, bekas graduan Institut Kraf Negara (IKN) mahu mencipta kelainan dalam menghasilkan rekaan batik. Foto BERNAMA
PERSONALITIRENCANA

Kelainan batik bermotif tema adiwira

KOTA BAHARU, 4 SEPT: Dalam kalangan pembatik di Pantai Timur, Amir Harith Mat Kashim pernah dilabelkan sebagai seorang yang ‘gila’ kerana mahu menampil kelainan pada motif batik, dengan ramai menganggapnya sebagai corak yang tidak boleh diterima akal.

Masakan tidak, anak kelima daripada sembilan beradik itu cuba lari daripada konsep kebiasaan pembatik apabila beliau memilih tema watak adiwira seperti Superman, Batman dan Spider-Man serta adiwira global komik terkenal sebagai motif rekaan batiknya.

Walhal, seperti diketahui umum, corak batik negara tidak pernah lari daripada lingkaran motif bertunjangkan alam semula jadi meliputi kepelbagaian flora, fauna mahupun rekaan kontemporari masa kini seperti abstrak serta konsep geometri yang sering menjadi pilihan pengusaha batik.

Justeru, keputusan Amir Harith, 30, yang mahu membawa pendekatan motif adiwira dalam penghasilan batik menerusi jenama Bujins dilihat seolah-olah menjejaskan reputasi kraf tekstil itu, yang sinonim dengan nilai eksklusif dan juga lambang kemegahan warisan tempatan.

Sekumpulan wakil media yang mengunjungi bengkel pembatik itu di Jalan Kuala Krai sempena program ‘Kisah Kejayaan’ Bekas Graduan Institut Kraf Negara (IKN) di negeri Pantai Timur anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) pada 22 dan 23 Julai lepas, turut berkongsi pandangan yang sama, pada awalnya.

“Datang jauh-jauh dari KL (Kuala Lumpur) semata-mata nak tengok batik bertema superhero yang sesuai untuk budak-budak sahaja” getus hati kecil penulis ketika diberitahu mengenai kelainan motif batik Amir Harith.

Namun, persepsi kebanyakan wakil media berubah sejurus melihat hasil karya anak jati Kota Baharu itu.

Motif adiwira

Watak adiwira Hulk yang dicantingkan pada paparan kain sutera berona putih bukanlah sebarangan tetapi ia persis lukisan mahal yang diolah penuh kreativiti sehingga menampakkan hasil yang eksklusif dan mewah.

Tidak hairanlah batik yang dihasilkannya ada yang boleh dijual sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Ramai yang kata idea saya mengarut dan orang tidak mungkin beli batik saya. Sekiranya pun ada, hanyalah kanak-kanak yang berminat…tetapi saya suka cabar diri untuk buat perkara yang dianggap tidak logik. Akhirnya ia diterima ramai.

“Misalnya, bila kita sebut tema watak adiwira Batman pada baju, ramai golongan 40-an tertanya-tanya bolehkah mereka pakai baju bercorak adiwira pada usia itu.

“Tetapi, selepas melihat hasilnya mereka terus berminat. Ramai pembeli adalah dari kalangan yang berumur 30-an dan ke atas,” kata pemilik Bujins L Batik Sdn Bhd itu kepada Bernama.

Dan, para pelanggannya bukanlah calang-calang.

Batik koleksi bertema adiwira Amir Harith mendapat sambutan sangat menggalakkan khususnya dari kalangan orang kenamaan serta selebriti daripada pelbagai peringkat usia dan kaum sejak ia mula dipasarkan tahun lalu.

Batik keluarannya dijual pada harga antara RM200 dan ada yang mencecah beberapa ribu ringgit namun, itu tidak menjadi halangan untuk peminat batik memilikinya.

Amir Harith Mat Kashim, pemilik Bujins L Batik Sdn Bhd. Foto BERNAMA

Malah, motif idea yang dianggap ‘gila’ oleh kebanyakan pengusaha batik sebelum ini habis terjual dalam masa singkat sahaja.

“Saya memilih motif superhero sebagai motif untuk membuktikan bahawa pembatik boleh berinovasi dalam seni rekaan kraf tekstil ini. Tidak semestinya batik hanya rekaan berasaskan geometri dan alam semula jadi. Saya harap pembatik lain juga berfikir di luar kelaziman.

“Sebelum ini, saya sama juga seperti mereka dengan menghasilkan rekaan batik berunsurkan alam semula jadi sejak Bujins beroperasi pada 2009. Tetapi, kerana ingin memajukan perniagaan batik dan mahu membuat kelainan, saya tampil dengan motif superhero,” katanya.

Pahlawan tempatan

Berikutan sambutan yang amat menggalakkan, Amir Harith dan pasukan Bujins memperluaskan lagi konsep motif batik dengan memperkenalkan pula tema adiwira atau tokoh tempatan sebagai corak batik terbaharu keluaran mereka.

Sebagai permulaan, Bujins memilih Laksamana Hang Tuah yang menjadi legenda dalam abad ke-15 semasa pemerintahan Kesultanan Melaka bersama-sama empat saudaranya – Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu – sebagai corak batik keluarannya.

Dihasilkan dalam edisi terhad, koleksi pahlawan Melayu itu ditampilkan pada baju kemeja lelaki dan dijangka dipasarkan di butik Bujins di pasar raya GM Bukit Bintang serta di laman sesawangnya, www.bujins.com pada September ini.

“Selain baju kemeja lelaki koleksi pahlawan, kami juga menjual busana batik wanita seperti blaus, jubah, baju kaftan dan kain ela yang menampilkan rekaan corak moden, minimalis serta kontemporari tetapi pada masa sama mengekalkan ciri-ciri klasik,” katanya yang mempunyai 12 pekerja.

Beliau memberitahu bahawa bukan mudah untuk mengenal pasti figura Laksamana Hang Tuah dan rakan-rakannya.

Amir Harith dan pasukan Bujins mengambil masa hampir setahun melakukan penyelidikan dan melakar motif berlandaskan fakta sejarah daripada muzium, pembacaan buku dan berdiskusi dengan beberapa pakar sejarah.

“Koleksi pendekar ini merupakan versi permulaan. Perancangan bagi edisi seterusnya, Bujins akan mempelbagaikan tokoh atau pejuang negara dari pelbagai etnik termasuk di Sabah dan Sarawak yang telah berkorban demi menuntut kemerdekaan.

“Selepas ini, mungkin ada siri khas seperti kisah Bukit Kepong dan sebagainya kerana saya mahu jadikan Bujins sebagai platform penceritaan sejarah menerusi motif batik. Apabila orang tengok fesyen Bujins, mereka akan tahu sejarah,” katanya.

Beliau menjelaskan Bujins turut menyelitkan penceritaan motif mengenai tokoh atau pahlawan pada label setiap koleksi baju batik yang dihasilkan.

Koleksi pendekar itu sudahpun mendapat permintaan awal khususnya daripada pelanggan setia Bujins walaupun ia belum dipasarkan, dengan kebanyakannya adalah dari kalangan bukan Melayu.

Jasa IKN

Kelainan yang ditampilkan Amir Harith, yang pernah menerima anugerah Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2013 dan 2014 serta Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2009, dalam setiap hasil batiknya adalah cara beliau mempamerkan rasa cinta dan semangat patriotik kepada negara.

“Generasi muda selalu dipersalahkan kerana dikatakan tidak patriotik sedangkan kami mempunyai cara tersendiri untuk mengekspresikannya.

“Misalnya, saya mempamerkan motif pahlawan, tokoh pejuang negara menerusi gabungan rekaan kontemporari dan elemen tradisional sebagai corak batik bagi memastikan kraf ini terus diminati dan pada masa sama mengingati kembali sejarah negara,” katanya.

Beliau yang mempelajari kemahiran batik sejak berusia 15 tahun berkata IKN banyak membantunya memperluaskan lagi ilmu kraf warisan itu sehingga berjaya mempunyai bengkel dan butiknya sendiri.

“Saya bukanlah dari keluarga yang ada perusahaan batik. Namun, minat terhadap dunia seni ini membuatkan saya bekerja secara separuh masa dengan usahawan batik selepas waktu sekolah sebelum melanjutkan pelajaran di IKN pada 2007 hingga 2011,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :