Warga Angkatan Tentera Malaysia mengebumikan jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya di Tanah Perkuburan Islam Tambun pada 5 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kematian anak AR Badul diklasifikasi sebagai kemalangan dalam latihan

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengesahkan insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya sebagai satu kemalangan dalam latihan.

TDM menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh lembaga siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.

“Ahli lembaga juga mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik.

“TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu terlibat, sementara prosedur operasi standard (SOP) dikemas kini jika perlu,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham Mohd Zahir akan dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera ke-578 yang telah bersidang pada 17 September lalu, tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Aspek kebajikan keluarga Allahyarham Mohd Zahir juga turut diberi perhatian dengan memastikan bantuan dan faedah sewajarnya diterima mengikut kelayakan yang telah ditetapkan dalam perkhidmatan TDM.

Allahyarham Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia, pada 4 Sept lepas.

– BERNAMA


Pengarang :