AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kematian Muhammad Adib kerana perbuatan jenayah

SHAH ALAM, 27 SEPT: Mahkamah Koroner Shah Alam, di sini hari ini memutuskan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, tahun lalu adalah akibat perbuatan jenayah, yang dilakukan lebih dua individu yang tidak diketahui.

Mahkamah Koroner menyerahkan kes itu kepada peguam negara dan polis untuk menjalankan siataan pendakwaan.

Terdahulu, peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Yahaya Othman tiba di Mahkamah Koroner Shah Alam jam 8.10 pagi tadi untuk keputusan Inkues punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Seksyen 8, di sini, hari ini.

Turut kelihatan, beberapa pegawai dan anggota bomba yang tiba sekitar jam 8.20 pagi.

Sementara itu, para wartawan sudah mula berada di Mahkamah Koroner sejak jam 7 pagi tadi.

Prosiding inkues berkenaan dijalankan ekoran punca sebenar yang meragut nyawa wira bomba itu dieksploitasi pelbagai pihak.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lalu.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Susulan insiden itu, pada 28 Disember lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

KPKT menyifatkan pengorbanan Muhammad Adib sehingga terkorban ketika rusuhan itu sebagai wira negara.

-BERNAMA


Pengarang :