AGENDANASIONAL

Kerajaan cadang beli Bombardier buat bomba – Zuraida

KUCHING, 15 SEPT: Kerajaan bercadang membeli sebuah pesawat Bombardier dan helikopter Medevac bagi kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kedua-dua aset udara ini yang masih belum dimiliki pasukan penyelamat berkenaan amat diperlukan terutama dalam proses evakuasi mangsa di kawasan pedalaman dan memadam kebakaran hutan.

Katanya, kementerian juga akan mempertimbangkan pemerolehan peralatan-peralatan menangani kebakaran yang terkini sekiranya perlu bagi kegunaan jabatan berkenaan.

“Saya akan ke Itali dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan jentera atau peralatan yang digunakan di negara itu dalam kerja pemadaman api.

“Itali model negara terbaik dalam menangani isu kebakaran, jadi kita akan ke sana untuk melihat demostrasi model yang digunakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Alat Pemadaman Api di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di sini, hari ini.

Sejumlah 1,000 alat pemadam api telah diserahkan kepada JBPM Sarawak untuk diagihkan kepada rumah-rumah panjang di pedalaman sebagai alat bantuan awal dalam mengawal kebakaran.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata, terdapat hanya 32 balai bomba di Sarawak ketika ini sedangkan dari segi geografinya negeri ini lebih luas dari Semenanjung.

“Jika berlaku kebakaran, pihak bomba sukar untuk sampai awal ke lokasi terutamanya di pedalaman. Justeru dengan adanya peralatan pemadam api, ia dapat membantu memadamkan kebakaran awal sekali gus mengelakkan kerugian harta benda,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :