(SK) King Edward VII (1) di Taiping, Perak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan diseru baiki SK King Edward VII (1)

TAIPING, SEPT: Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Kebangsaan (SK) King Edward VII (1) meminta Kementerian Pendidikan membaikpulih bangunan asal sekolah itu di Jalan Stesen di sini bagi mengelak ia terbiar dan membahayakan keselamatan murid-murid.

Sekolah ini adalah salah sebuah Sekolah Inggeris atau Sekolah Premier yang pertama ditubuhkan di negara ini pada tahun 1883 dengan nama Central School.

Presidennya, Mohaideen Ishak, 79, berkata, tingkat atas bangunan dua tingkat yang kini kelihatan tidak selamat diduduki perlu dibaik pulih.

“Kita telah beberapa kali berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang akan menimbang permohonan untuk membaikpulih bangunan tersebut,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bangunan itu juga telah digazetkan sebagai bangunan warisan dan meminta kerja membaikpulih tidak mengubah struktur asalnya.

Mohaideen berkata, sekolah berkenaan telah melahirkan ramai bekas tokoh masyarakat dalam bidang pendidikan, sukan, korporat, media dan politik.

Antara mereka ialah Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak, Menteri Besar awal Perak, Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral (Bersara), Tan Sri Dr Mohd Ghazali Che Mat, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Abdullah Ayub, Menteri Perdagangan, Tan Sri Dr. Lim Swee Aun, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Razak dan Penasihat Pendidikan Yayasan Albukhary, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah.

=============


Pengarang :