Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan fokus projek pembangunan landasan

SERENDAH, 3 SEPT: Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada projek pembangunan landasan dan mengoptimumkan penggunaan landasan kereta api, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi negara serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya sudah diberikan mandat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi komitmen berterusan ke atas projek infrastruktur membabitkan kos lebih rendah tanpa berkompromi ke atas kualiti projek berkenaan.

“Kita hendak memperkasa sektor pengangkutan awam, khususnya industri landasan, termasuk projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan projek menaik taraf kemudahan infrastruktur landasan kereta api berkembar elektrik di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran KVDT2, di sini hari ini.

Loke berkata, jajaran KVDT berperanan sebagai nadi utama menghubungkan trafik kereta api dari Utara ke Selatan, memastikan pergerakan lancar bagi laluan kereta api kargo dari Pantai Barat dan Pantai Timur ke Pelabuhan Klang dan sebaliknya, serta satu-satunya jajaran kereta api ke Pelabuhan Klang.

Namun, katanya, keadaan landasan di jajaran KVDT itu sudah terlalu usang sehingga tidak berdaya maju daripada segi ekonomi untuk diselenggara dan perlu dinaik taraf dengan segera.

-BERNAMA


Pengarang :