AGENDA NASIONAL

Kerajaan lancar Majlis Bandar Pintar menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kerajaan akan melancarkan Majlis Bandar Pintar di bawah Rangka Kerja Pembangunan Bandar Pintar Malaysia 2018-2025 menjelang akhir tahun ini dengan mengadakan syor atau cadangan kepada 13 ketua menteri dan menteri besar ke arah mewujudkan bandar pintar yang sesuai didiami, boleh kerja dan mampan.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Mohd Anuar Maidin berkata, majlis itu yang menyasar untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai antara bandar pintar dunia akan menyenaraikan 78 penunjuk di bawah rangka kerja itu.

Beliau berkata, majlis berkenaan akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Menurut IESE Cities Motion Index 2019, London muncul sebagai bandar paling pintar dunia (di kedudukan pertama dengan skor indeks 100 peratus), manakala Kuala Lumpur menduduki tangga ke-100 dengan skor 52.83 peratus.

“Sehubungan itu, apabila setiap negeri dapat mematuhi rangka kerja itu menjelang 2025, kami berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus atau 70 peratus (skor), namun, ia bergantung kepada kewangan kami,” katanya kepada Bernama di luar acara Smart Cities Asia 2019, di sini, hari ini.

Bandar pintar boleh ditakrifkan sebagai bandar yang dilengkapi teknologi maklumat dan komunikasi bagi menaik taraf kualiti dan prestasi perkhidmatan di bandar seperti tenaga, pengangkutan dan utiliti demi mengurangkan penggunaan sumber, pembaziran dan kos keseluruhan.

Mohd Anuar berkata, ketika ini rangka kerja itu sedang dalam proses untuk mendapat kelulusan daripada Kabinet.

Beliau berkata, hala tuju bandar pintar yang merangkumi asas seperti pelan jangka panjang (bagi setiap negara), teknologi bagi meningkatkan kualiti hidup, perubahan organisasi, rangka kerja undang-undang yang disenangi, kemampanan, skala dan evolusi ke arah kos lebih rendah dan data terbuka.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia juga akan mempunyai penunjuk yang akan membantu mengurangkan bencana alam seperti banjir dan jerebu.

PLANMalaysia memainkan peranan melalui fungsi-fungsinya di tiga peringkat kerajaan iaitu persekutuan, negeri dan tempatan bagi memastikan perancangan kegunaan, pembangunan dan pemeliharaan tanah yang sempurna.

– BERNAMA


Pengarang :