Amirudin Shari menyampaikan ucapan sempena Perasmian Penutup Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor kali ke-11 2019 di Hotel Gocos, Klang pada 16 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri ambil tindakan tegas jika ada pembakaran terbuka

KLANG, 16 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi amaran tegas kepada pemilik tanah yang sengaja melakukan pembakaran terbuka tatkala jerebu teruk sedang melanda Selangor, pada waktu ini.

Beliau berkata, buat masa ini Kerajaan Negeri terus memantau lokasi panas yang dipercayai berisiko untuk berlaku pembakaran terbuka oleh pemilik tanah yang tidak bertanggungjawab.

“Kita percaya mereka lakukan pembakaran terbuka ini pada waktu malam dan ia menyukarkan pihak bertanggungjawab membuat sebarang tangkapan, tuan tanah pun kita tidak tahu di mana mereka berada.

“Namun demikian, Kerajaan Negeri akan terus ambil tindakan tegas supaya keadaan jerebu tidak bertambah buruk,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Debat dan Pidato Peringkat Kebangsaan 2019 di Hotel Gocos di sini, hari ini.

Amirudin Shari bersama pemenang selepas Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor kali ke-11 2019 di Hotel Gocos, Klang pada 16 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Terdahulu SelangorKini pada 13 September melaporkan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian menegaskan pemilik tanah yang dikesan kerap melakukan pembakaran terbuka di Johan Setia hingga mengundang peningkatan Indeks Pencemaran Udara bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk rampasan tanah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Daerah untuk mengenal pasti pemilik tanah berikutan kebanyakan tanah di kawasan terbabit adalah milik persendirian selain berstatus pertanian.

Tindakan itu dilakukan ekoran pemilik tanah tidak berusaha membantu Kerajaan Negeri untuk mengelakkan daripada berlakunya pembakaran terbuka.


Pengarang :