Khalid Abdul Samad (tengah) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Arkitek VERITAS Azril Amir Jaafar (kanan) mengenai model cadangan pembangunan Kampung Bharu pada sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Pemilik Tanah Kampung Bharu di Dewan Perdana Felda pada 21 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tawar beli tanah Kampung Baru RM850 satu kaki persegi

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kerajaan hari ini menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru di sini dengan kadar RM850 setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan terbabit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, tawaran itu adalah kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

“Selain nilai harga tanah, apa-apa struktur atau bangunan di atas tanah pemilik dan pewaris juga turut akan dinilai bagi tujuan pulangan kepada mereka.

“Oleh itu, jumlah pulangan yang bakal diterima oleh pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru adalah jumlah harga tanah ditambah dengan jumlah nilaian struktur di atas tanah terbabit,” katanya pada sesi townhall bersama lebih 3,000 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru di sini hari ini.

Khalid berkata pemilik dan pewaris tanah boleh memilih antara empat tawaran jual beli iaitu dalam bentuk pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas.

“Tawaran jual beli ini adalah berdasarkan lot tanah dan bukannya setiap pemilik yang berdaftar.

“Kerajaan menegaskan bahawa pemilikan tanah di Kampung Baru ini akan tetap menjadi hak orang Melayu tanpa kompromi,” katanya.

Bagi pulangan tunai dan separa tunai, 10 peratus daripada harga kaedah pembayaran akan diberi selepas perjanjian jual beli ditandatangani manakala selebihnya akan diberi selepas borang pindah milik 14A Kanun Tanah Negara didaftarkan, katanya.

Beliau berkata hasil pembangunan semula Kampung Baru dilihat dapat mengembangkan pemilikan hartanah orang Melayu di kawasan segi tiga emas ibu negara.

-BERNAMA


Pengarang :