BERITA UTAMA

Kerajaan tekad bebaskan negara dari rasuah, salah guna kuasa

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata kerajaan komited untuk memulihkan negara agar bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Ini akan dilaksanakan dengan mengukuhkan pentadbiran negara berdasarkan kepada prinsip ‘rule of law’ dan pemisahan kuasa seperti mana telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Patik berharap negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baharu dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada hari ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta keistimewaan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata kerajaan menyedari ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar termasuk dalam bentuk halangan-halangan kepada perdagangan bebas serta ketidakstabilan dalam mata wang global, boleh memberi kesan kepada negara.

Untuk mengatasi keadaan itu, kerajaan akan sentiasa melakukan pelbagai strategi di peringkat domestik dan antarabangsa untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

Dr Mahathir turut memaklumkan bahawa usaha-usaha kerajaan untuk memulihkan kedudukan kewangan dan ekonomi negara serta melunaskan janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat semakin berhasil.

Pada masa yang sama, katanya pelbagai inisiatif di bawah visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah pun mula dilaksanakan bagi memastikan kekayaan negara dapat diagihkan dengan menyeluruh untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-62 pada 31 Ogos lalu yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih telah menyerlahkan kesepakatan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata ia sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia boleh duduk bersama berkongsi sesuatu nilai yang dihargai secara harmoni walaupun berlainan kaum, berbeza latar belakang dan kepercayaan.

“Ini juga adalah manifestasi perpaduan rakyat Malaysia yang akan terus dipertahan dan diperkukuhkan. Sesungguhnya segala program dan projek pembangunan hanya dapat berhasil dengan sebaiknya jika negara aman dan tersusun rapi.

“Rakyat juga kini semakin matang dalam menghadapi ancaman-ancaman yang mampu memecah belahkan perpaduan. Justeru Kerajaan Tuanku akan terus memperkukuhkan perpaduan dan melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan keharmonian kaum terus dipelihara,” katanya.

Menyentuh tentang agenda pembangunan negara pula, Dr Mahathir berkata kerajaan akan terus melibatkan golongan anak muda dan menerapkan mereka dengan semangat kesukarelawan serta keusahawanan selain nilai murni supaya menjadi lebih produktif juga berdaya saing untuk menghadapi perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Dalam mengejar arus pemodenan itu, katanya kerajaan akan terus memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara dan tidak diabaikan.

“Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap pencemaran alam sekitar akan diambil tindakan tegas yang sewajarnya dan untuk mengelak perkara ini terus berlaku, semua pihak diseru memainkan peranan penting untuk melindungi alam sekitar,”katanya.

Dr Mahathir selain itu turut merakamkan ucapan sembah tahniah kepada Al-Sultan Abdullah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada hari ini.

“Patik, kerajaan dan rakyat sekalian juga memohon untuk menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku. Semoga Kebawah Duli Tuanku, Raja Permaisuri Agong dan keluarga sentiasa dilimpahi taufik dan hidayah oleh Allah, dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan sejahtera selalu,”katanya.

-BERNAMA


Pengarang :