AGENSISELANGOR

Kerjasama NGO bantu capai objektif kebajikan rakyat Selangor

 

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS)
sentiasa membuka ruang dan peluang untuk berkolaborasi bersama badan bukan
kerajaan (NGO) lain.

Yang DiPertuanya, Masdiana Muhamad berkata, kolaborasi melalui perkongsian
bijak supaya perlaksanaan sebarang aktiviti dapat dioptimumkan bagi mencapai
objektif untuk kebajikan khususnya rakyat Selangor.

Katanya, dengan gandingan itu, secara tidak langsung akan memperkasa peranan
NGO dan memastikan kredibiliti dalam masyarakat agar tidak dipertikaikan
terutama dari aspek legitimasi pertubuhan dan penilaian kendiri.

“Pada hari ini, NGO merupakan entiti penting dalam sistem pentadbiran di Malaysia.

“Kekuatan dan idea di sebalik pertubuhan seperti menyediakan peluang
pendidikan dan kemahiran, memperkasa ekonomi wanita, membantu mangsa bencana alam dan memperjuangkan isu berkaitan hak kemanusian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra PEKAWANIS Bersama NGO
Peringkat Negeri Selangor 2019, di Kediaman Dato’ Menteri Besar, di sini.

Hadir sama Penaung PEKAWANIS, Yang Amat Mulia Tengku Putri, Datin Paduka
Hajjah Arafiah ibni almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masdiana berkata, NGO memainkan peranan besar terutama dalam sektor yang tidak
dipenuhi dalam perkhidmatan kerajaan.

“Ia disebut sebagai sektor ketiga yang membantu menyelesaikan masalah negara
dan menangani pelbagai keperluan sosial termasuk isu kemiskinan serta
pengangguran kearah kesejahteraan rakyat.

“Justeru, PEKAWANIS sentiasa membuka ruang untuk berkolaborasi bersama NGO
lain bagi memartabatkan dan membantu rakyat Selangor khususnya,” katanya.


Pengarang :