AGENSINASIONALSELANGOR

Kerjasama NGOi mampu pertahan kesucian Islam di Selangor

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) perlu bersikap proaktif dan bersepadu dalam menyatakan pendirian berhubung isu semasa ummah, khususnya bagi mempertahankan kesucian agama Islam.

Timbalan Pengurus Jawatankuasa (NGOi) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian berkata, ia selari dengan peranan NGOi yang banyak membantu MAIS dalam menggerakkan aktiviti perkembangan dakwah dan penyebaran Islam di negeri ini.

“Mereka seharusnya berada pada tahap yang diharapkan MAIS iaitu peka dengan setiap isu dibangkitkan dan bersama-sama membincangkan cara untuk mengatasinya.

“Selain itu, NGOi juga diingatkan supaya mengamalkan sikap saling hormat menghormati dalam kepelbagaian pandangan dan bertindak secara bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Persidangan NGOi dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Dana MAIS Bagi Tahun 2019, di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Seksyen 14, di sini hari ini.

Turut hadir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Pada masa sama, Dr Yasmin berkata, pertubuhan berkenaan juga disaran mewujudkan persefahaman dalam kalangan kluster supaya perkara membabitkan kepentingan Islam dapat dilaksanakan secara bersama.

“Kita tidak mahu kluster (gugusan) sedia ada wujud secara bersendirian tanpa kerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga dan memartabatkan kesucian agama Islam serta membangunkan masyarakat yang sejahtera di Selangor,” katanya.

Terdahulu, persidangan selama sehari itu bertujuan menjelaskan peranan NGOi dalam mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Institusi Raja Berperlembagaan.

Selain menerangkan kepentingan NGOi dalam mengaplikasikan Maqasid Syariah, persidangan berkenaan turut memberi pendedahan berhubung cara mengurus perbezaan pandangan yang berkesan dalam dakwah serta Islah.


Pengarang :