AGENDANASIONAL

Pengurusan kes wang haram anak tiri Najib 6 Disember

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 6 Disember untuk pengurusan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah US$248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu setelah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan masih belum melengkapkan beberapa dokumen yang berkaitan dengan kes itu.

“Pihak pendakwa memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan beberapa dokumen yang berkaitan dengan kes itu. Semua dokumen akan selesai dalam masa terdekat dan dokumen lain telah dikemukakan kepada pembelaan, “katanya ketika sebutan kes hari ini.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza, 42, mengesahkan perkara itu.

Sri Ram juga memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi semalam telah menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan kes itu akan diteruskan di mahkamah ini.

Pada 9 Ogos, Rozina menetapkan 6 hingga 9 Januari dan 13 Januari untuk perbicaraan.

Pada 5 Julai lepas, Riza, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripaa akaun serupa pada 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :