Amirudin Shari menyampaikan ucapan pembukaan pada Dialog Bajet 2020: Pemberdayaan Ekonomi ke Arah “Selangor Maju Besama” yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam pada 10 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Keselamatan, kesejahteraan rakyat fokus Belanjawan Negeri 2020

SHAH ALAM, 10 SEPT: Kerajaan Negeri akan memberikan tumpuan terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat dalam Belanjawan Negeri 2020 yang dijangka dibentangkan sebelum penghujung tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, faktor berkenaan akan digabungkan dengan aplikasi Smart Selangor yang sedia ada bagi menjamin keselamatan rakyat negeri ini.

Katanya, antara tindakan yang akan dilakukan adalah dengan menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa lokasi utama yang sudah dikenal pasti.

“Jabatan Perancang Bandar sudah mengenalpasti lokasi untuk menempatkan CCTV ini dan hanya tunggu maklumat serta data lengkap berhubung perkara ini.

“Saya juga sedang menunggu masa untuk bertemu Kementerian Dalam Negeri bagi membincangkan isu menambah anggota polis di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Dialog Bajet 2020 Pemberdayaan Ekonomi Ke Arah ‘Selangor Maju Bersama’ di Hotel Concorde.

Majlis Dialog Bajet 2020 turut menampilkan Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Mat Salih dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid.


Pengarang :