Penerjun Amerika Syarikat, Taylor Blake melakukan terjunan sempena Gua Damai International Base Jump Tahun 2019, Batu Caves. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Keterujaan berlegar-legar di ruang udara

BATU CAVES, 15 SEPT: Melakukan aksi terjunan dari aras ketinggian hampir 100 meter bukan satu tugas mudah melainkan individu itu benar-benar berhati kering dan memiliki jiwa cukup kental.

Walaupun menyedari risiko yang mungkin menunggu, Mohammad Nor Fierkhan, 42, tidak gentar melakukan terjunan udara menggunakan payung terjun pada altitud serendah itu, malahan dilihat teruja berlegar-legar di ruang udara tanpa sekelumit rasa bimbang.

Penggiat sukan lasak itu merupakan salah seorang daripada 24 peserta yang melakukan lompatan dari platform terjunan BASE sempena penganjuran ‘Gua Damai International Base Jumping’ Kali Ke-12, di sini, hari ini.

Mohammad Nor Fierkhan

Menggemari aktiviti lasak sejak dari kecil, Mohammad berkata, dia bagaimanapun mula terlibat aktif dalam sukan terjunan BASE pada 2015.

“Saya dilahirkan dalam keluarga 69 Komando (pasukan khusus multi spektrum bercorak ketenteraan) dan kesemua ahli keluarga termasuk sanak saudara memang terlibat dengan sukan payung terjun.

“Keyakinan diri sangat penting untuk menyertai sukan terjunan udara memandangkan ia dianggap sebagai sukan ekstrem dan berisiko tinggi.

“Jika ditanya sesiapa sekalipun, sukan ini sangat berisiko, tetapi kalau diajar dengan faktor keselamatan yang memang sudah diterapkan, semua orang boleh cuba,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pendaratan sempurna di lapangan terbuka berhampiran taman ekstrem itu.

Mohammad yang kini berkhidmat sebagai Eksekutif di sebuah syarikat di Ipoh, Perak berkata, beliau akan berulang-alik dari tempat tinggal sekarang ini ke Gua Damai sebulan sekali bagi menjalani latihan meskipun berdepan kekangan masa atas kesibukan kerja.

“Di Malaysia, Taman Ekstrem Gua Damai satu-satunya lokasi yang dibenarkan untuk mengadakan sukan terjunan BASE dan ia menjadi pusat latihan terbaik bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam sukan ini.

“Peserta akan memanjat gunung dengan melalui kawasan gua yang berketinggian kira-kira 280 meter dan memerlukan daya tahan serta stamina mantap.

“Untuk sampai ke landasan platform ‘Base Jump’ selalunya mengambil masa lebih kurang 30 minit,” katanya yang pernah memanjat gua tersebut bersama seorang pesara juruterbang Tentera Udara Malaysia berusia 63 tahun.

Mengakui ramai yang tidak menyedari kewujudan industri sukan itu, katanya, penganjuran ‘Gua Damai International Base Jumping’ menjadi indikator penting dalam memberi pendedahan kepada masyarakat di negara ini.

Katanya, ia sekali gus dapat menarik lebih ramai penyertaan, khususnya anak muda untuk menceburi sukan berkenaan.

“Setakat ini, pendedahan rakyat Malaysia terhadap sukan terjunan udara masih kurang, jadi dengan adanya aktiviti seumpama ini akan membantu meningkatkan penglibatan orang ramai pada masa hadapan.

“Kita sebenarnya memiliki ramai atlet berkebolehan yang hampir sama taraf dengan atlet antarabangsa,” katanya.

BASE merujuk kepada akronim empat kategori atau objek tetap yang menjadi pilihan melakukan terjunan iaitu ‘building’ (bangunan), ‘antenna’ (antena), ‘span’ (jambatan) dan ‘earth’ (tebing tinggi).


Pengarang :