AGENSISELANGOR

Ketirisan, salah guna kuasa MJSAA tidak tepat

SHAH ALAM, 24 SEPT: Ketirisan dan salah guna kuasa seperti diuar-uarkan berkenaan pengurusan Masjid Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya (MJSAA) adalah tidak tepat.

Unit Korporat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kenyataan memaklumkan, telahan dan kenyataan yang dilontarkan Pengerusi Gagasan Bertindak MJSAA bersifat tuduhan semata-mata.

Katanya, pihak pengurusan masjid sudah melantik firma juruaudit bertauliah untuk menyediakan penyata kewangan tahunan bagi masjid berkenaan.

“Penyata kewangan beraudit disediakan bagi tahun 2015, 2016 dan 2017 manakala, penyata kewangan bagi 2018 sedang diaudit oleh firma audit berkenaan.

“Semua isu penggantian dan baik pulih kelengkapan alat penghawa dingin serta pembesar suara sudah diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Tadbir,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, proses perolehan masjid berkenaan dibuat secara sebut harga dan dinilai oleh jawatankuasa sebut harga.

Justeru, katanya, aspek ketelusan sangat dititik beratkan oleh pihak pengurusan MJSAA dalam membuat keputusan.

“Selepas dinaik taraf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 1 Januari 2016, MJSAA ditadbir dengan menggunakan sistem Jawatankuasa Pengurusan Masjid diketuai seorang pengurus masjid bagi menggantikan Jawatankuasa Kariah Masjid yang dahulunya diketuai seorang Nazir.

“Sistem ini dilaksanakan oleh MAIS selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Oleh itu, masjid yang dinaik taraf menggunakan kaedah ini tidak perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan sebagaimana sistem jawatankuasa masjid yang diketuai Nazir,” katanya.


Pengarang :