AGENDANASIONAL

Ketuanan Melayu: PPIM setuju kenyataan PM

SHAH ALAM, 11 SEPT: Masyarakat Melayu tidak perlu terlalu sensitif dan marah terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh isu ketuanan Melayu baru-baru ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, orang Melayu sebaliknya perlu berusaha lebih gigih membangunkan ekonomi masing-masing seperti saranan Mahathir.

“Saya setuju dengan Tun Dr Mahathir orang Melayu kena sedar dan kerja kuat kukuhkan ekonomi jika mahu dihormati kaum lain.

“Sebelum ini tak berapa nampak kesedaran orang Melayu kerana orang Melayu ini kalau tak dihina dia tak sedar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit sejak negara merdeka untuk membangunkan ekonomi Melayu termasuk melancarkan Dasar Ekonomi Baru.

Bagaimanapun, ianya tidak memberi kesan yang diharapkan kerana kurangnya kesedaran masyarakat Melayu.

Nadzim berkata, selain program bantuan pembiayaan, kerajaan juga harus mengadakan program kesedaran kepada orang Melayu khasnya membabitkan kuasa pengguna yang dimilikinya.

Katanya, orang Melayu perlu mencontohi semangat orang Jepun dan Korea yang gigih membantu membangunkan ekonomi bangsa mereka.

Terdahulu, Mahathir dalam catatan terbaharunya di blog peribadi beliau, chedet.cc, melahirkan kekecewaan terhadap sikap orang Melayu yang masih menganggap diri sebagai tuan di negara ini walaupun hakikatnya enggan memperbaik nasib sendiri.

Mahathir berkata, orang Melayu sepatutnya sudah belajar daripada sejarah bagaimana generasi mereka terdahulu tidak mengambil peluang meningkatkan taraf ekonomi sewaktu pemerintahan British.


Pengarang :