AGENDANASIONAL

Keusahawanan sosial dari kitar semula jana pendapatan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kitar semula dan keusahawanan sosial menjadi fokus dialog bajet 2020 Smart Desa Selangor : Bersih dan Sejahtera yang diadakan menjelang pembentangan Belanjawan Negeri 2020, November depan.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, menerusi inisiatif itu penduduk Kampung Tradisi akan dapat memperoleh sumber pendapatan singkat menerusi kitar semula.

“Istilah Juru Kitar Semula melalui keusahawanan sosial merupakan satu ‘game changer’ dalam inovasi pengurusan sisa pepejal dan sampah.

“Ini sebagai usaha melestarikan alam sekitar, menjana sumber pendapatan kepada penduduk kampung dan solusi bagi mendepani permasalahan sosial setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog itu, di Hotel Concorde, di sini.

Rodziah berkata, Kerajaan Negeri komited dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan dan tahap pendapatan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Semua pihak perlu sedar 24 peratus sampah yang dibuang ada nilai, oleh itu masyarakat perlu sedar tentang perkara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, program kesedaran dan kerjasama masyarakat akan diberi perhatian bagi mencapai matlamat persekitaran yang bersih serta mampan.

“Program kesedaran kepada orang ramai adalah titik tolak kepada kejayaan sesuatu pelaksanaan program kerajaan.

“Ini akan dapat membuka minda kita mengenai realiti isu sisa pepejal domestik di kawasan luar bandar supaya mencapai tahap kehidupan luar bandar yang selesa,” katanya.

Pada sesi dialog bajet itu, lebih 500 orang hadir termasuk Ketua Kampung, Penghulu, Ahli Dewan Negeri dan kakitangan awam.


Pengarang :