Amirudin Shari menaiki bas Smart Selangor selepas Perasmian Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam & Pelancaran Laluan Tambahan Bas Smart Selangor SA04 ke UiTM pada 18 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Khidmat Bas Smart Selangor ke UiTM ringan beban pelajar

SHAH ALAM, 18 SEPT: Inisiatif Kerajaan Negeri menambah laluan Bas Smart Selangor ke kampus UiTM, Seksyen 7, dapat membantu meringankan beban pelajar dan kakitangannya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkhidmatan percuma itu turut menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sejajar hasrat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menjadi Bandar Raya Mesra Pengangkutan Awam dan Rendah Karbon 2030.

“Penambahan laluan bas dengan memasuki kawasan kampus UiTM dapat meringankan beban terutamanya pelajar yang terpaksa mengikat perut kerana kos sara hidup semakin meningkat.

“Inisiatif ini juga menepati dasar pelaksanaan Bas Smart Selangor yang mahu memberi kemudahan kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Terminal 17 dan Pelancaran Laluan Tambahan Bas Smart Selangor (SA04) Shah Alam ke Kampus UiTM, di Terminal Bas Seksyen 17, di sini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Turut hadir Datuk Bandar MBSA, Dato’ Haris Kasim.

Amirudin berkata, laluan SA04 itu mula dilanjutkan operasi ke dalam kampus UiTM pada Julai tahun ini.

Katanya, SA04 akan bermula dari Terminal 17 menuju ke Padang Jawa seterusnya ke Seksyen 7 melalui Stesen Komuter Padang Jawa.

“Antara kriteria laluan bas adalah perlu mengutamakan laluan kawasan tumpuan pembangunan dan perumahan padat serta ada hubungan dengan sistem pengangkutan lain seperti stesen komuter.

“Selain itu, lokasi bagi laluan percuma ini perlu di kawasan tumpuan kemudahan awam antaranya pusat kesihatan, pejabat kerajaan dan sekolah serta premis perniagaan,” katanya.

Untuk rekod, MBSA membelanjakan peruntukan RM1.4 juta setahun untuk perkhidmatan Bas Smart Selangor bagi laluan SA04.


Pengarang :