AGENDASUKANKINI

KHM lantik Dharmaraj kendali skuad hoki dalam dewan wanita

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) membuat keputusan untuk melantik Muhammad Dharmaraj Abdullah sebagai ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita dengan serta merta sehingga Sukan SEA.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan skuad negara menepati sasaran meraih pingat emas acara tersebut di Sukan SEA Filipina, yang bakal berlangsung bermula 30 November hingga 11 Disember ini.

Beliau berkata, keputusan melantik Dharmaraj yang kini merupakan ketua jurulatih skuad wanita kebangsaan, dibuat berikutan permintaan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mahu skuad hoki dalam dewan diberikan lebih banyak perhatian dan dibantu, terutamanya apabila hoki padang tidak dipertandingkan pada temasya kali ini.

Keputusan itu juga menyaksikan ketua jurulatih sedia ada, Yahya Atan akan kembali ke skuad pembangunan bersama S. Velappan dan Nasihin Nubli, manakala skuad ‘Malaysian Tigress’ akan dikendalikan oleh dua pembantu Dharmaraj, Lailin Abu Hassan dan Roslan Jamaluddin sehingga Dharmaraj menyelesaikan tugasnya di Sukan SEA.

“Semua pihak tahu bahawa Dharmaraj sedang melakukan kerja yang sangat baik, jadi kami yakin beliau dapat melakukan tugas ini dengan baik walaupun hanya tinggal dalam dua bulan untuk Sukan SEA. Ini sebenarnya satu pengiktirafan buat beliau kerana mendapat kepercayaan daripada MSN atas usaha beliau selama ini.

“Kami juga telah mendaftarkan pemain (daripada skuad Malaysian Tigress), termasuk beberapa pemain utama ke Sukan SEA, jadi terpulang kepada Dharma untuk melakukan penstrukturan semua,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Subahan berkata, pihaknya yakin skuad hoki dalam dewan lelaki kendalian Amin Rahim dan wanita negara mampu merealisasikan sasaran dua pingat emas itu.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang menawarkan empat pingat emas bagi sukan hoki, Malaysia meraih tiga emas menerusi acara hoki padang lelaki dan wanita serta hoki dalam dewan lelaki, manakala skuad hoki dalam dewan wanita gagal menepati sasaran emas apabila hanya membawa pulang gangsa.

– BERNAMA


Pengarang :