Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMA

KKM pantau penyakit berkaitan jerebu – KP

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau penyakit berkaitan jerebu di 33 Fasiliti Sentinel Jerebu KKM iaitu asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan (URTI).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 3.5 peratus peningkatan penyakit asma (1.222 kepada 1.265 kes) pada minggu epid (ME) 38 iaitu pada 15 hingga 21 September berbanding purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun – 7 September).

Katanya, penyakit konjuntivitis juga terdapat peningkatan sebanyak 51.4 peratus (266 kepada 403 kes) pada tempoh sama manakala URTI menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 peratus (8,258 kepada 7,465 kes).

“KKM mengambil maklum berkenaan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam, semalam yang menunjukkan 24 stesen berada pada bacaan tahap sederhana, 42 stesen (tidak sihat) dan satu stesen (sangat tidak sihat).

“Justeru, KKM menasihatkan orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mengalami penyakit asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung serta alahan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya, pada ME 38 (15 hingga 21 September 2019) terdapat 17 kawasan merekodkan status IPU Sangat Tidak Sihat (Kulim Hi-Tech, Balik Pulau, Minden, Taiping, Johan Setia, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Putrajaya, Batu Muda, Nilai, Tangkak, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan Kuching) berbanding tiga kawasan pada ME 37 (8 hingga 14 September 2019) iaitu Samarahan, Kuching dan Johan Setia.

“Tiada kawasan merekodkan status IPU Bahaya pada ME 37 namun pada ME 38 terdapat satu kawasan merekodkan status IPU Bahaya iaitu Sri Aman,” katanya.

Bagi mendapatkan langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari laman sesawang KKM di alamat http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Orang ramai disaran untuk mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal JAS di alamat http://apims.doe.gov.my/.


Pengarang :