Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
AGENDANASIONAL

KKM siasat laporan rekod perubatan pesakit didedah

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius dan sedang menyiasat laporan yang menyatakan sebanyak 19,992 pemeriksaan radiologi di Malaysia berhadapan dengan risiko pendedahan maklumat pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM telah mengadakan satu mesyuarat khas bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi mengenal pasti punca pendedahan itu.

“Pengajaran daripada laporan Greenbone Networks dan serangan siber yang berlaku di seluruh dunia menunjukkan bahawa kita telah memasuki era baharu ancaman siber.

“Sekuriti siber adalah cabaran yang berterusan dan memerlukan lebih banyak kemahiran serta tenaga pakar untuk menanganinya,” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, perkara itu boleh berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan termasuk perkhidmatan hospital swasta serta pusat perubatan di institut pengajian tinggi, dan KKM akan memberikan perkembangan terkini berhubung isu berkenaan dari semasa ke semasa.

Pada mesyuarat semalam, KKM turut membincangkan tindakan yang akan diambil bagi membendung ancaman siber dan antara langkah segera yang sedang dijalankan ialah pemetaan risiko pendedahan di semua fasiliti kesihatan.

KKM juga sedang mengkaji semula risiko pendedahan di semua hospital yang menggunakan sistem PACS (Sistem Pengarkiban Gambar dan Komunikasi) serta mempertingkatkan ciri-ciri dan tahap keselamatan aplikasi serta infrastruktur teknologi maklumat di semua fasiliti kesihatan secara berterusan.

Greenbone Networks, sebuah syarikat sekuriti siber pada 16 September lepas, mendedahkan bahawa rekod perubatan pesakit di 52 negara termasuk Australia, China, Jepun, United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia dan Brazil, bocor dalam talian.

Rekod berkenaan mempunyai nama penuh pesakit, tarikh lahir, tarikh pemeriksaan kesihatan, malah jutaan imej juga bocor, seperti imbasan X-ray.

Amerika Syarikat adalah yang paling terjejas oleh kebocoran itu, dengan 13.7 juta set data dan 45.8 juta imej terdedah manakala sebanyak 19,922 rekod data pesakit di Malaysia boleh diakses secara terbuka daripada tiga sistem arkib, bersama dengan 1.2 juta imej yang berkaitan dengan rekod berkenaan.

Greenbone memberi amaran dalam laporannya bahawa maklumat berkenaan boleh dieksploitasi oleh penyerang untuk pelbagai tujuan, seperti nama dan imej untuk merosakkan reputasi seseorang, atau data peribadi berkenaan boleh digunakan untuk mencuri identiti orang lain.

– BERNAMA


Pengarang :