Keadaan jerebu di Klang yang dirakam baru-baru ini. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: Tangguh aktiviti luar jika IPU cecah paras tidak sihat

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan supaya sebarang aktiviti fizikal di luar bangunan ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 iaitu pada paras tidak sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, saranan itu selari dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sekali gus dapat mengelakkan risiko penyakit akibat jerebu.

Katanya, orang ramai dinasihatkan berada berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung serta mulut yang sesuai.

“Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan. Pada masa sama elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

“Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan dan tidak lupa banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, Jabatan Alam Sekitar sebelum ini memaklumkan keadaan berjerebu mungkin berterusan memandangkan masih terdapat bilangan titik panas di Indonesia.

Justeru, KKM menasihatkan orang ramai supaya peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing serta memantau kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang mengidap penyakit respiratori serta jantung lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

“Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat, dan orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM,” katanya.


Pengarang :