PBTSELANGOR

‘Klang Heritage Merdeka Walk’ tarik 5,000 peserta

KLANG, 3 SEPT: Seramai 5,000 peserta mengambil bahagian dalam program ‘Klang Heritage Merdeka Walk’ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62, baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, program kali kedua diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pihak, termasuk 1,517 pelajar dari 20 buah sekolah sekitar Klang dan badan bukan kerajaan.

“Program dengan kerjasama Kelab Warisan Sungai Klang berteraskan misi memelihara dan memulihara Sungai Klang itu merangkumi pelbagai aktiviti bagi menghidupkan persekitaran Sungai Klang dan Jambatan Kota.

“Sejak penubuhan kelab itu, kami sangat aktif mengadakan bengkel menghasilkan bebola enzim (mudball making) dan program gotong-royong di sekitar sungai klang yang kerap diadakan di Jambatan Kota.

“Ini memberi peluang kepada masyarakat untuk turut sama mengenali salah satu khazanah warisan negara iaitu sebuah jambatan berusia 62 tahun,” katanya pada perasmian program itu di Jambatan Kota, di sini.

Mohamad Yasid turut berharap penganjuran program bersama komuniti itu dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada warga Klang khususnya generasi muda supaya menjaga warisan.

“Harapan saya supaya semua yang terbabit mendapat manfaat daripada setiap pengalaman yang dikongsikan hari ini.

“Seterusnya, menjadi permulaan yang baik utk menjalinkan kerjasama lebih erat dalam memelihara dan memulihara khazanah serta warisan yang ada,” katanya.

Sebanyak 10 lokasi penting dan bersejarah di Klang dikunjungi peserta antaranya Jambatan Kota, Balai Bomba Klang, Gedung Raja Abdullah, Stesen KTM Klang dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah.

Selain itu, mereka turut melawat Istana Alam Shah, Gereja Our Lady of Lourdes Klang, Little India di Jalan Tengku Kelana, Kuil Sri Nagara Thendayuthapan dan Masjid India Klang.


Pengarang :